Salam.
Bagi yang sibuk menggeluti urusan dunia dan tidak melakukan ibadah-ibadah sebagaimana mestinya sudah pastinya jauh daripada ketenangan. Bagaimana pula anda yang sudah merasa cukup beribadah? Anda merasa sudah menjaga solat 5 waktu dengan baik, ditambah pula dengan solat-solat sunat, ditambah lagi dengan puasa-puasa sunat, ada pula lagi sedekah degan rutin serta bermacam lagi amalan-amalan wajib dan sunat. Tapi anda merasa ketenangan masih jauh daripada jiwa anda.
Atau mungkin sesekali anda sudah boleh merasakan ketenangan, tetapi tidak stabil dan mudah saja ketenangan itu terburai walaupun hanya dengan masalah-masalah kecil yang datang. Sehingga adakalanya hati kecil anda mempersoalkan, " Mengapa aku masih merasa seksa? sedangkan aku sudah beribadat dengan baik? aku sudah menjaga perintah-perintah agama semampu kudratku. Apa lagi yang kurang? Apakah Allah tidak sayang aku lagi? Ataukah Allah tidak adil kepada ku? Ataukah agama yang ku anuti ini tidak betul ?".... Wah, sampai gitu sekali luahan hati yang sedang kecewa. Kerana masalah begini, tidak jarang sampai ada saudara-sudara kita yang murtad.
Sekarang kita bedah perlahan-lahan masalah ini. Sudah benarkah ibadat anda? Sudah benarkah solat yang anda lakukan? Sudah betulkah zikir-zikir yang anda amalkan? Ibadat yang sempurna menghasilkan kesan positif kepada jiwa anda. Jadi jika anda tidak merasakan kesan yang positif maka ini bermaksud ibadat anda belum sempurna. Cuba lihat rumus sederhana ini :
(1) Ibadat + sempurna = Jiwa yang positif
Jiwa + positif = Kehidupan positif/senang/bahagia
(2) Ibadat + tidak sempurna = Jiwa negatif ( ataupun masih sama seperti dulu juga )
Jiwa + negatif = Hidup negatif/susah/sengsara.
Ibadat yang sempurna ada 3 elemen utama iaitu, Islam, Iman, Ihsan. Anda sudah islam tentunya, Alhamdulillah. Anda beribadat kerana anda beriman, anda percaya kepada firman-firman Allah, terhadap janji-janjiNya. Ok anda sudah beriman, Alhamdulillah. Iman itu yang mendorong anda untuk beribadat. Namun adakah ibadat anda sudah Ihsan? Ihsan itu apa?
"Engkau menyembah Allah, beribadat kepada Allah seolah engakau melihatnya. Jika engkau tidak melihatnya, maka engkau yakin bahawa Dia melihatmu "
Sudah adakah elemen ini dalam ibadat anda? Jika ibadat-ibadat anda masih belum memberi kesan positif kepada jiwa dan kehidupan anda, maka pastinya anda kekurangan elemen Ihsan dalam ibadat-ibadat anda. Solatlah dengan khusyuk, rasakan benar-benar anda sedang menyembah Dia Yang Maha Agung. Tunduk dengan sepenuh hati anda. Ketika anda solat namun fikiran anda masih melayang-layang, maka anda tidak ihsan, dan hasilnya adalah ibadat anda tidak berkesan positif kepada jiwa dan seterusnya kehidupan anda.
Kesan pertama ibadat yang benar adalah anda akan merasakan ketenangan yang luar biasa pada jiwa anda. Apabila jiwa anda sedang tenang, maka kekuatan batin anda sedang dalam keadaan yang optimum. Jiwa anda sedang berada dalam keadaan yang sangat bersedia untuk melancarkan getaran kekuatannya yang dipandu oleh niat. Dengan ketenangan anda akan kuat. Dengan kekuatan anda akan dapat melakukan apa sahaja termasuklah perkara-perkara yang mustahil. Tetapi anda harus ingat, bahawa ketenangan bukanlah destinasi terakhir perjalanan spiritual anda. Apabila anda sudah memperolehi ketenangan, maka perjalanan spiritual anda baru saja bermula untuk mencapai makrifah. Itulah destinasi anda.
Kembalikan jiwa anda kepada penciptanya, melalui latihan-latihan rohani yang benar. Perbaiki mana-mana yang masih kurang. Sistem spiritual ini sudah lengkap, tinggal anda fahami dan jalani dengan benar, maka insyaAllah anda akan memperolehi, " fiddun'ya hasanah wafil akhirati hasanah, waqina 'azabannar ".
Selamat memajukan diri anda.
No comments:
Post a Comment